Galeri: Pelukis berdakwah sempena Ramadan
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
BERMAIN DENGAN AKSARA: Husin menterjemah makna kebesaran Ilahi dengan menggunakan huruf jawi.
Karya papar kepentingan Ilahi dari pelbagai sudut pandangan
SEMPENA menyambut puasa tahun ini, Art Case Gallery mengadakan pameran lukisan dan seni arca bertema Panggilan Ramadan bagi membuktikan bidang seni juga mampu berfungsi sebagai bahantara untuk berdakwah.
Karya 13 pelukis tempatan yang menggunakan pelbagai bahantara untuk berkarya termasuk koleksi kaligrafi Arab moden dan lukisan abstrak dapat dihayati pengunjung galeri ini sepanjang pameran 30 Ogos hingga 20 September ini.
Shukur Yahya menerusi lukisannya, Al-Fatihah dan Al- Thalak, masing-masing bernilai RM 14,800 dan RM 6,800 mengajak peminat seni tanah air mengisi kehidupan dengan menerima hakikat kepentingan beragama dan pelukis turut tidak terlepas daripada melaksanakan pengisiannya.
"Saya berharap individu yang membeli lukisan saya akan menjaga dan menghormati karya ini sebagai hasil seni dan lambang peringatan dalam kehidupan seharian agar kita tidak lalai dan lupa pada suruhan-Nya," katanya pada pertemuan dengan Galeri di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pelukis ini turut berharap karyanya dapat menangkis pandangan negatif segelintir masyarakat terhadap ilmu seni kerana ia terbukti boleh dimanfaatkan bagi tujuan menyampaikan dakwah kepada umat Islam.
TAFSIRAN: Suhaimi memberi makna bahan terbuang seperti besi akar kayu dan rempah ratus dalam lukisan ala kolaj.
Husin Hourmain, tampil dengan Asal Usul Alif yang menceritakan kepentingan aksara terbabit dalam menyempurnakan setiap perkataan atau ayat tulisan jawi dan ia sering tidak disedari pembaca.
"Walaupun mesej yang ingin saya sampaikan terlalu mudah untuk difahami ,tetapi sebenarnya kita sering lupa setiap huruf ada maksud tersirat dan kepelbagaian bentuk yang unik sekiranya kita mendalaminya," jelasnya.
Keunikan lukisan karya Suhaimi Fadzir pula terserlah melalui lukisannya, Bismillah yang menekankan kepentingan memulakan apa juga perkara dengan bacaan terbabit dan kreativiti pelukis ini dapat dilihat melalui penggunaan bahan terbuang seperti besi, akar kayu dan rempah ratus.
Mesej tersirat dalam lukisannya yang berharga RM12,000 itu, terpancar pada perkataan Allah yang melambangkan peringatan terhadap umat Islam bagi setiap perkara yang dilakukan dalam kehidupan seharian agar mereka tidak terpesong daripada landasan sebenar.
"Saya ingin mengajak khalayak melihat betapa pentingnya kita memohon kepada Allah SWT kerana hanya dengan izin-Nya segala-galanya itu berlaku dan secara tidak langsung mereka akan sedar kepentingan Ilahi sebagai pencipta," katanya.
Pameran ini turut dijayakan pemilik galeri terbabit, Raja Azhar Idris dan pelukis jemputan seperti Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Dr Siti Zainon Ismail, Umi Baizura, Anne Samat, Rafiee Ghani, Azman Hilmi, Khalil Ibrahim dan Azad Daniel Haris.
INFO: Art Case Gallery
* Lokasi: Lot 7, Level 4, Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
* Telefon: 03-42574007
* Tarikh: 30 Ogos hingga 20 September
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Sastera/20080905082539/Article/
No comments:
Post a Comment