Monday, October 20, 2008

Terapi seni

Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Jangan ambil mudah luahan artistik orang di sekeliling anda. Ia mungkin menjadi ‘kunci’ kepada sesuatu di dalam diri mereka.

SETIAP lukisan mempunyai kaitan psikologi dengan si pelukisnya.

SEBUAH lukisan pernah menimbulkan persoalan Paul Jambunathan, pakar konsultan psikologi klinikal dan pensyarah kanan dalam Sains Tingkahlaku di Sekolah Perubatan, Pusat Perubatan Sunway, Selangor.

Gambaran seorang yang tidur di katil pada kedudukan terbalik dengan bahagian kepala diletakkan di hujung dan kaki di kepala katil jauh daripada telahan literalnya. Setelah ditanyakan kepada pemilik lukisan, nyata ia menyimpan luka yang dalam.

“Pelukis berkongsi bahawa dia menjadi mangsa gangguan seksual bapanya sendiri. Jadi ada ketikanya dia tidur dalam posisi terbalik dengan harapan apabila bapanya masuk ke bilik dan cuba menyentuh buah dadanya, sebaliknya kepala lutut yang disentuh.

“Jika berkesempatan, dia mahu menendang bapanya sebelum berlari keluar bilik,” kata Paul. Sekali gus, teknik ini dapat membantu menyelamatkan pesakit daripada menjadi mangsa perkosa bapanya.

Satu kes yang hampir sama, seorang wanita melukis satu lengkungan yang panjang, tetapi tidak difahami pada peringkat awalnya.

PAUL JAMBUNATHAN

“Semakin lama, lukisannya semakin jelas. Semakin banyak perincian diberikan. Kami kemudiannya difahamkan bahawa dia pernah menjadi mangsa perkosa berulang,” jelasnya.

Pada sebuah lukisan yang dipamerkan di Galeri Annexe, Pasar Budaya Kuala Lumpur, badut dalam persalinan bercorak petak hitam putih tidak diukir senyuman pada wajahnya. Sebaliknya, ia memiliki satu lagi wajah dalam posisi terbalik.

“Lukisan ini, mungkin dapat diterjemahkan sebagai seorang yang dikenali dengan personaliti gemar berlawak jenaka, mudah menggembirakan orang lain, tetapi hakikatnya, dia tidak gembira.

“Mungkin personaliti sebenarnya ada pada wajah yang berada dalam posisi terbalik itu. Ia boleh jadi apa saja. Tetapi yang pasti, medium lukisan, atau seni, termasuk menghasilkan skulptur, lagu, skor muzik dan sebagainya, boleh menjadi satu bentuk terapi di mana seseorang itu dapat meluahkan diri mereka yang sebenar.

“Ia bersifat terapeutik,” ujar Paul.

Katanya, seni dapat membantu menggambarkan perasaan yang sukar untuk diluahkan dalam bentuk perkataan, kerana bukan semua orang dapat berkata-kata dan menyampaikan mesej secara lisan dengan baik. Malah cara ini sebenarnya menggalakkan curahan perasaan menggunakan pendekatan yang selamat dan diterima ramai.

“Ada seorang kanak-kanak, apabila diperiksa buku latihannya, ada lukisan meja dan kerusi pada setiap helaian buku itu. Setelah didekati, rupa-rupanya kanak-kanak itu seorang genius yang diasingkan oleh guru kerana mereka tidak tahu cara untuk menangani tingkah lakunya.

“Setelah diletakkan di kelas yang satu tahap lebih tinggi, dia tidak lagi melukis begitu dan tidak mengganggu kelas,” ujarnya.


Pesakit mental, kata Paul, bukan gila. “Tetapi minda mereka tidak dapat berfungsi dengan baik akibat tekanan yang terkumpul dalam fikiran dan tidak ditangani dengan cepat, membuatkan deria keenam berhenti berfungsi,” kata Paul yang menyifatkan deria terakhir itu sebagai kewarasan fikiran.

Memang, pada peringkat permulaan, kata Paul, agak sukar untuk mereka membuat pesakit berkongsi apa saja yang ada dalam fikiran mereka. Disebabkan itu, alternatif seperti melukis atau membuat seni kraf yang lain, disusuli kaunseling, dapat membantu pesakit membuka ‘pintu’ kepada pemikiran mereka.


Menurut Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya (UM), di Malaysia, sekurang-kurangnya seorang daripada setiap sembilan orang menderita penyakit mental, sama ada tekanan, gangguan bipolar atau skizofernia.

“Kanak-kanak dapat meluahkan dengan lebih baik kerana apa yang ada dalam pemikiran mereka sedangkan orang dewasa mempunyai beberapa kelompok tekanan daripada banyak perkara yang ada di antaranya bertindan antara satu sama lain.

“Pendek kata tekanan yang dialami orang dewasa adalah lebih kompleks,” ujar Paul.

Menyenaraikan nama-nama hebat seperti Beethoven, Van Gogh, Leonardo Da Vinci, Michelangelo, dan Mozart sebagai antara penghidap penyakit mental yang disebutkan di atas, Paul yang mengkelaskan mereka sebagai sudah mencapai tahap kemuncak tekanan, mengakui bahawa kelompok ini menonjolkan kreativiti yang tinggi dalam seni.

“Tetapi ini tidak bermakna semua orang yang terlibat dalam seni mempunyai masalah mental. Ia adalah satu bentuk ekpresi, atau terjemahan emosi,” katanya yang menegaskan tidak dapat dikenal pasti jika lukisan pesakit mental diletakkan bersama lukisan mereka yang normal.

2 comments:

FADZLAN RIZAN JOHANI said...

bagus artikel nie

salam perkenalan,
FADZLAN
http://papan9.blogspot.com/
http://jalakmas.blogspot.com

POLARIS said...

info yang menarik...membantu saya menyelesaikan assignment saya yang bertajuk terapi seni dalam pendidikan khas.