Monday, October 20, 2008

Terapi seni

Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Jangan ambil mudah luahan artistik orang di sekeliling anda. Ia mungkin menjadi ‘kunci’ kepada sesuatu di dalam diri mereka.

SETIAP lukisan mempunyai kaitan psikologi dengan si pelukisnya.

SEBUAH lukisan pernah menimbulkan persoalan Paul Jambunathan, pakar konsultan psikologi klinikal dan pensyarah kanan dalam Sains Tingkahlaku di Sekolah Perubatan, Pusat Perubatan Sunway, Selangor.

Gambaran seorang yang tidur di katil pada kedudukan terbalik dengan bahagian kepala diletakkan di hujung dan kaki di kepala katil jauh daripada telahan literalnya. Setelah ditanyakan kepada pemilik lukisan, nyata ia menyimpan luka yang dalam.

“Pelukis berkongsi bahawa dia menjadi mangsa gangguan seksual bapanya sendiri. Jadi ada ketikanya dia tidur dalam posisi terbalik dengan harapan apabila bapanya masuk ke bilik dan cuba menyentuh buah dadanya, sebaliknya kepala lutut yang disentuh.

“Jika berkesempatan, dia mahu menendang bapanya sebelum berlari keluar bilik,” kata Paul. Sekali gus, teknik ini dapat membantu menyelamatkan pesakit daripada menjadi mangsa perkosa bapanya.

Satu kes yang hampir sama, seorang wanita melukis satu lengkungan yang panjang, tetapi tidak difahami pada peringkat awalnya.

PAUL JAMBUNATHAN

“Semakin lama, lukisannya semakin jelas. Semakin banyak perincian diberikan. Kami kemudiannya difahamkan bahawa dia pernah menjadi mangsa perkosa berulang,” jelasnya.

Pada sebuah lukisan yang dipamerkan di Galeri Annexe, Pasar Budaya Kuala Lumpur, badut dalam persalinan bercorak petak hitam putih tidak diukir senyuman pada wajahnya. Sebaliknya, ia memiliki satu lagi wajah dalam posisi terbalik.

“Lukisan ini, mungkin dapat diterjemahkan sebagai seorang yang dikenali dengan personaliti gemar berlawak jenaka, mudah menggembirakan orang lain, tetapi hakikatnya, dia tidak gembira.

“Mungkin personaliti sebenarnya ada pada wajah yang berada dalam posisi terbalik itu. Ia boleh jadi apa saja. Tetapi yang pasti, medium lukisan, atau seni, termasuk menghasilkan skulptur, lagu, skor muzik dan sebagainya, boleh menjadi satu bentuk terapi di mana seseorang itu dapat meluahkan diri mereka yang sebenar.

“Ia bersifat terapeutik,” ujar Paul.

Katanya, seni dapat membantu menggambarkan perasaan yang sukar untuk diluahkan dalam bentuk perkataan, kerana bukan semua orang dapat berkata-kata dan menyampaikan mesej secara lisan dengan baik. Malah cara ini sebenarnya menggalakkan curahan perasaan menggunakan pendekatan yang selamat dan diterima ramai.

“Ada seorang kanak-kanak, apabila diperiksa buku latihannya, ada lukisan meja dan kerusi pada setiap helaian buku itu. Setelah didekati, rupa-rupanya kanak-kanak itu seorang genius yang diasingkan oleh guru kerana mereka tidak tahu cara untuk menangani tingkah lakunya.

“Setelah diletakkan di kelas yang satu tahap lebih tinggi, dia tidak lagi melukis begitu dan tidak mengganggu kelas,” ujarnya.


Pesakit mental, kata Paul, bukan gila. “Tetapi minda mereka tidak dapat berfungsi dengan baik akibat tekanan yang terkumpul dalam fikiran dan tidak ditangani dengan cepat, membuatkan deria keenam berhenti berfungsi,” kata Paul yang menyifatkan deria terakhir itu sebagai kewarasan fikiran.

Memang, pada peringkat permulaan, kata Paul, agak sukar untuk mereka membuat pesakit berkongsi apa saja yang ada dalam fikiran mereka. Disebabkan itu, alternatif seperti melukis atau membuat seni kraf yang lain, disusuli kaunseling, dapat membantu pesakit membuka ‘pintu’ kepada pemikiran mereka.


Menurut Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya (UM), di Malaysia, sekurang-kurangnya seorang daripada setiap sembilan orang menderita penyakit mental, sama ada tekanan, gangguan bipolar atau skizofernia.

“Kanak-kanak dapat meluahkan dengan lebih baik kerana apa yang ada dalam pemikiran mereka sedangkan orang dewasa mempunyai beberapa kelompok tekanan daripada banyak perkara yang ada di antaranya bertindan antara satu sama lain.

“Pendek kata tekanan yang dialami orang dewasa adalah lebih kompleks,” ujar Paul.

Menyenaraikan nama-nama hebat seperti Beethoven, Van Gogh, Leonardo Da Vinci, Michelangelo, dan Mozart sebagai antara penghidap penyakit mental yang disebutkan di atas, Paul yang mengkelaskan mereka sebagai sudah mencapai tahap kemuncak tekanan, mengakui bahawa kelompok ini menonjolkan kreativiti yang tinggi dalam seni.

“Tetapi ini tidak bermakna semua orang yang terlibat dalam seni mempunyai masalah mental. Ia adalah satu bentuk ekpresi, atau terjemahan emosi,” katanya yang menegaskan tidak dapat dikenal pasti jika lukisan pesakit mental diletakkan bersama lukisan mereka yang normal.

Wednesday, October 15, 2008

Bakti tokoh pewaris bangsa diiktiraf negara

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Pak Ali menunjuk ajar anak muridnya Mohd Rezlan Abdul Wahid.

Kepakaran dan kemahiran dalam seni budaya tempatan tiada tandingan

SABAN tahun kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWa) memberi pengiktirafan buat anak seni yang berjaya dan berjasa.

Namun, ramai yang tidak tahu, selain seniman, kerajaan turut mengiktiraf tokoh yang terbabit dalam seni budaya sebagai salah satu cara menghargai jasa dan kepakaran mereka memartabatkan kesenian dan kebudayaan negara.

Pada 25 Julai lalu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal mengumumkan lima tokoh seni budaya tokoh sebagai Warisan Orang Hidup.

Mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005, ada empat kategori dalam Daftar Warisan Kebangsaan iaitu Tapak Warisan, Objek Warisan, Warisan Orang Hidup dan Warisan Bawah Air.

Mengikut akta itu, “Pesuruhjaya hendaklah mewujudkan dan menyenggarakan suatu daftar yang dikenali sebagai Daftar Warisan Kebangsaan seperti ditetapkan mengandungi senarai butiran warisan yang didaftarkan.”


Setiap warisan yang tersenarai di dalam Daftar Warisan Kebangsaan disebut sebagai "butiran warisan". Butiran warisan yang tersenarai mempunyai dua status berbeza, iaitu Warisan atau Warisan Kebangsaan.

Lima tokoh yang diberikan pengiktirafan sebagai Warisan Orang Hidup 2008 adalah penglipur lara, Ali Badron Sabor, atau Pak Ali Badron; penggiat boria terkenal, Abu Bakar Jaafar atau Pak Kan dari Pulau Pinang; bobohizan' atau pawang wanita masyarakat Kadazan Dusun terkenal di Sabah, Losimin Majanil; bapa gendang Malaysia, Tan Hoo Song, dan penari serta pereka tari tarian klasik India, Bharathanatyam, Vatsala Sivadas.

Namun, Tan yang dikenali sebagai ‘Bapa Gendang Tradisi’ meninggal dunia pada 26 Julai lalu sehari selepas namanya diumumkan sebagai Warisan Orang Hidup.

Sebelum ini, seorang tokoh turut menerima pengiktirafan yang sama tahun lalu, iaitu tokoh bangsawan, boria, ronggeng dan kebudayaan Baba dan Nyonya, Mohd Bahroodin Ahmad. Namun, beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Baha meninggal dunia 28 Jun lalu.

Cikgu Baha berpeluang merasai keistimewaan kepada Warisan Orang Hidup dengan mendapat rawatan di wad kelas pertama, Hospital Pulau Pinang sepanjang beliau dirawat di sana.

Semua tokoh Warisan Orang Hidup diberikan sijil pengiktirafan, bayaran honorarium selain keistimewaan lain seperti layanan kelas pertama di hospital kerajaan.

Apakah yang menyebabkan kelima-lima tokoh itu mendapat pengiktirafan berkenaan? Jabatan Warisan menyatakan pengiktirafan itu berdasarkan pencapaian dan sumbangan mereka kepada seni dan budaya masyarakat tempatan.

Pak Ali Badron, 66, berpengalaman dalam bidang sastera lisan sejak 1960-an adalah penglipur lara terkenal yang menjadi rujukan penuntut dan ahli akademik dalam sastera lisan.

Beliau adalah seorang pesara guru dan aktif sebagai penceramah dalam bengkel khusus mengenai sastera lisan di pusat pengajian tinggi, maktab perguruan serta majlis anjuran Majlis Kebudayaan Negeri.

Selain menjadi ahli Jawatankuasa Kebudayaan Negeri Johor, Pak Ali Badron juga menjadi Pengerusi kumpulan Teater Sri Penggaram. Beliau terkenal di selatan tanah air terutama Johor dengan sastera lisan klasik ‘Surat Kapal’.

Keunikan Pak Ali kerana beliau bercerita sambil memukul gendang mewarisi kebolehan gurunya Pak Arab. Masih aktif sebagai penglipur lara, beliau kini mewariskan bakatnya kepada anak muridnya yang menjadi juara kebangsaan penglipur lara yang diadakan di Perlis baru-baru ini.

Mengulas pengiktirafan itu, Pak Ali mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberikan anugerah berkenaan kepadanya yang disifatkannya hadiah bermakna kerjaya seninya yang tidak pernah difikirkannya.

“Saya melakukan ini (penglipur lara) bukannya kerana mahu mendapatkan pengiktirafan tetapi minat mendalam dalam seni dan budaya,” katanya.

Sementara itu, Losimin, 83 pula diberikan pengiktirafan berkenaan kerana beliau adalah satu-satunya bobohizan wanita tertua dan mampu merawat penyakit misteri mengikut kepercayaan kaumnya.

Dikenali kerana mempunyai ilmu yang cukup hebat, mewarisi tradisi ritual pribumi Kadazan Dusun sejak berusia 16 tahun. Losimin masih aktif dan menjadi bobohizan mengetuai ritual Kaamatan peringkat negeri dan kebangsaan.

Malah, beliau amat memahami rejang, resa, simbol dan firasat tradisional kaumnya serta mahir dalam bidang nyanyian dan ritual yang sudah tiada lagi pada orang lain selain, mampu menggerakkan segala ragam dalam tarian Sumazau, simbol jati masyarakatnya.

Seorang lagi tokoh, Abu Bakar Jaafar, 84 tahun yang kini uzur dan menerima rawatan di hospital. Dikenali sebagai Pak Kan, dipilih kerana satu-satunya tukang karang boria yang masih hidup.

Bergiat dalam boria sejak berusia 12 tahun, Pak Kan mewarisi bakat bapa dan abangnya yang turut menjadi tukang karang boria terkenal.

Pernah menyertai dan memenangi pertandingan Dendang Rakyat peringkat Pulau Pinang dan Kebangsaan sebanyak lapan kali. Malah, Pak Kan turut menerima Anugerah Seni Pulau Pinang dan Tokoh Budaya Pulau Pinang pada 2003.

Tan dipilih kerana beliau diberi pengiktirafan masyarakat Cina Malaysia sebagai ‘Bapa Gendang Tradisi’. Beliau menerima pengiktirafan itu kerana berjaya mencipta kesenian gendang yang mempunyai ciri-ciri istimewa Malaysia, dinamakan ‘24 Gendang Perayaan’.

Beliau juga menjadi orang pertama melagukan Puisi Mahua (Sastera Cina Malaysia) yang pertama kali diperkenalkan kepada masyarakat Cina Malaysia pada 70-an.

Pernah menerima Tokoh Puisi Lagu Mahua dan Tokoh Penggalakkan Muzik Tradisi oleh beberapa pertubuhan Cina.

Sementara itu, Vatsala Sivadas dipilih menerima pengiktirafan itu kerana sumbangan besarnya dalam seni tarian klasik India dikenali sebagai Bharatanatyam.

Vatsala mempunyai akademi tarian sendiri yang menerapkan nilai Malaysia dikenali sebagai Temple Fine Arts. Malah, Shakuntala, karya lagenda klasik Kalidasa digarap dengan variasi tempatan apabila lagu Melayu melatari persembahannya untuk Perdana Menteri India, Indra Ghani.

Apa yang pasti kepakaran dan kemahiran yang dimiliki kelima-lima tokoh berkenaan memang tiada tandingannya dan selayaknya mereka menerima pengiktirafan berkenaan.

INFO

18 Tapak Warisan

Bangunan Dewan Bandaraya dan Panggung Bandaraya

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi ( Ibu Pejabat KTMB)

Bangunan Jabatan Kerja Raya (PWD)

Bangunan Parlimen

Bangunan Pejabat Pos Besar (GPO)

Bangunan Residensi (Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia Pertama)

Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur

Bangunan Sultan Abdul Samad

Batu Caves dan Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam

Carcosa dan King's House (Seri Negara)

Dewan Perhimpunan Cina Selangor

Gereja St. George

Istana Negara

Masjid Negara dan Makam Pahlawan

Taman Negara Kinabalu

Taman Negara Mulu

Tapak Tiang Bendera Negara Dinaikkan Buat Pertama Kali

Tugu Negara



32 Objek Warisan

Bangsawan

Bunga Raya (Hibiscus Rosa-sinensis)

Cogan Agama

Cogan Alam

Cokmar

Cokmar Dewan Negara

Cokmar Dewan Rakyat

Dondang Sayang

Gandik Diraja

Hukum Kanun Melaka

Jalur Gemilang

Jata Negara

Joget Melayu

Kalung Diraja

Keris Panjang Diraja

Keris Pendek Diraja

Mak Yong

Manuskrip Hikayat Hang Tuah

Manuskrip Sejarah Melayu

Negaraku

Ngajat

Panji-Panji Diraja

Pending Diraja

Perak Man

Rumah Terbuka Malaysia

Seni Persilatan Melayu

Sewang

Sumazau

Tarian Singa Atas Tiang

Tengkolok Diraja

Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan

Wayang Kulit

Tuesday, September 30, 2008

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri kepada semua warga dan kerabat GAP's, kenalan, peminat seni dan seluruh umat... Moga dapat kita kejernihan jiwa dari sumur Ramadan yang berlalu...

Tuesday, September 23, 2008

Galeri: Pelukis berdakwah sempena Ramadan

Galeri: Pelukis berdakwah sempena Ramadan
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

BERMAIN DENGAN AKSARA: Husin menterjemah makna kebesaran Ilahi dengan menggunakan huruf jawi.

Karya papar kepentingan Ilahi dari pelbagai sudut pandangan

SEMPENA menyambut puasa tahun ini, Art Case Gallery mengadakan pameran lukisan dan seni arca bertema Panggilan Ramadan bagi membuktikan bidang seni juga mampu berfungsi sebagai bahantara untuk berdakwah.

Karya 13 pelukis tempatan yang menggunakan pelbagai bahantara untuk berkarya termasuk koleksi kaligrafi Arab moden dan lukisan abstrak dapat dihayati pengunjung galeri ini sepanjang pameran 30 Ogos hingga 20 September ini.

Shukur Yahya menerusi lukisannya, Al-Fatihah dan Al- Thalak, masing-masing bernilai RM 14,800 dan RM 6,800 mengajak peminat seni tanah air mengisi kehidupan dengan menerima hakikat kepentingan beragama dan pelukis turut tidak terlepas daripada melaksanakan pengisiannya.

"Saya berharap individu yang membeli lukisan saya akan menjaga dan menghormati karya ini sebagai hasil seni dan lambang peringatan dalam kehidupan seharian agar kita tidak lalai dan lupa pada suruhan-Nya," katanya pada pertemuan dengan Galeri di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelukis ini turut berharap karyanya dapat menangkis pandangan negatif segelintir masyarakat terhadap ilmu seni kerana ia terbukti boleh dimanfaatkan bagi tujuan menyampaikan dakwah kepada umat Islam.
TAFSIRAN: Suhaimi memberi makna bahan terbuang seperti besi akar kayu dan rempah ratus dalam lukisan ala kolaj.

Husin Hourmain, tampil dengan Asal Usul Alif yang menceritakan kepentingan aksara terbabit dalam menyempurnakan setiap perkataan atau ayat tulisan jawi dan ia sering tidak disedari pembaca.

"Walaupun mesej yang ingin saya sampaikan terlalu mudah untuk difahami ,tetapi sebenarnya kita sering lupa setiap huruf ada maksud tersirat dan kepelbagaian bentuk yang unik sekiranya kita mendalaminya," jelasnya.

Keunikan lukisan karya Suhaimi Fadzir pula terserlah melalui lukisannya, Bismillah yang menekankan kepentingan memulakan apa juga perkara dengan bacaan terbabit dan kreativiti pelukis ini dapat dilihat melalui penggunaan bahan terbuang seperti besi, akar kayu dan rempah ratus.

Mesej tersirat dalam lukisannya yang berharga RM12,000 itu, terpancar pada perkataan Allah yang melambangkan peringatan terhadap umat Islam bagi setiap perkara yang dilakukan dalam kehidupan seharian agar mereka tidak terpesong daripada landasan sebenar.

"Saya ingin mengajak khalayak melihat betapa pentingnya kita memohon kepada Allah SWT kerana hanya dengan izin-Nya segala-galanya itu berlaku dan secara tidak langsung mereka akan sedar kepentingan Ilahi sebagai pencipta," katanya.

Pameran ini turut dijayakan pemilik galeri terbabit, Raja Azhar Idris dan pelukis jemputan seperti Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Dr Siti Zainon Ismail, Umi Baizura, Anne Samat, Rafiee Ghani, Azman Hilmi, Khalil Ibrahim dan Azad Daniel Haris.

INFO: Art Case Gallery

* Lokasi: Lot 7, Level 4, Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
* Telefon: 03-42574007
* Tarikh: 30 Ogos hingga 20 September


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Sastera/20080905082539/Article/

Saturday, September 20, 2008

Jawapan Galeri Petronas

From: Tengku Nasariah Bt Tengku Syed Ibrahim (CEO/PETROSAINS)

Subject: RE: GALERI PETRONAS PRESENTS MERDEKA SHOW 2008 - WALLSCAPES

Dear Encik Hasnee,

Thank you for your email to GALERI PETRONAS, and giving us a chance to respond.

We would like to address your questions and concerns:

1." Why on earth that Petronas Gallery commisioned artists from CHINA origin to depict our own MERDEKA?"

2. "Why must we pay foreign artists instead of local artists? Are the local artits not good enough ? Now is a struggle time for EVERYONE especially LOCAL ARTISTS !This is not a healthy situation if Gallery Petronas is really want to help Art Development in Malaysia. You are spending public money ! No wonder that art development in other countries are better than us because we have this kind of attitude. "KERA DI HUTAN DI SUSU KAN ANAK DI RUMAH KELAPARAN."

3. What is the LOGIC behind commisioning these foreign artists? What do they know about Malaysia? Only from the photos that you gave them...
As an artist I always beleive that Gallery Petronas is the Craddle of Malaysian Art.But this prove me wrong. Gallery Petronas is just a organization that only know how to spend PUBLIC MONEY.

Firstly, the artwork was commissioned by an independent Malaysian art collector, Datuk Yap Lim Sen and not GALERI PETRONAS. It is not a depiction of Merdeka per se, but an example of history painting with Malaysian content by internationally renowned history painters who have won major international awards. The artwork was graciously lent to us for public display by Datuk Yap.

GALERI PETRONAS' main objective is to help support the Malaysian art movement by providing a versatile space for local and international artists to display their works. In doing so, international exhibitions and public programmes (such as forums and dialogues with the artists) provide much needed exposure for both our local artists and audiences to international art practices which will in turn help develop the Malaysian art scene further.

I trust that having answered Question 1, all the questions following are no longer relevant.

“As an artist I always believe that Gallery Petronas is the Craddle of Malaysian Art. But this prove me wrong. Gallery Petronas is just a organization that only know how to spend PUBLIC MONEY.”

I would like to correct the misunderstanding that is prevalent in this statement. Please be informed that GALERI PETRONAS is funded by PETRONAS which is a multi-national corporation which generates its own profits from operations locally and, even more, internationally. As such we operate from corporate funding, not ‘public money’ (such as taxes which form the basis of government funding). Like any other responsible Corporate citizen, apart from maximizing profits for the owner (government)& paying corporate taxes ( government), we do invest in Corporate Social Investment ( CSI) for the good of the community and its future – and this art gallery is one way to give to the nation something PETRONAS believes to be valuable for the holistic development of society. In terms of national objectives, ours is only a complementary role to the National Art Gallery, which is the government agency in charge of developing Malaysian Art & artists. This certainly does not stop us from doing what we can to contribute meaningfully to the Malaysian art scene.

I am glad that we have this opportunity to answer your questions - thank you for bringing them to our attention. However in the future, we would appreciate it very much if the factual clarification is sought first before copying others. We hope that your concerns have been laid to rest and that you will be able to enjoy the exhibition better.

We look forward to receiving you at our next shows at GALERI PETRONAS.

Selamat Berpuasa !

Thank you and warm regards,
T. Nasariah
Director, GALERI PETRONAS

Subject: Re: GALERI PETRONAS PRESENTS MERDEKA SHOW 2008 - WALLSCAPES

Hai, thank you for the invitation. I just want to raise few questions to Petronas Gallery Management regarding the SPECIALLY COMMISIONED WALLSCAPES by 3 CHINA ARTISTS.

1. Why on earth that Petronas Gallery commisioned artists from CHINA origin to depict our own MERDEKA?

2. Why must we pay foreign artists instead of local artists? Are the local artits not good enough ? Now is a struggle time for EVERYONE especially LOCAL ARTISTS !This is not a healthy situation if Gallery Petronas is really want to help Art Development in Malaysia. You are spending public money ! No wonder that art development in other countries are better than us because we have this kind of attitude. "KERA DI HUTAN DI SUSU KAN ANAK DI RUMAH KELAPARAN."

3.What is the LOGIC behind commisioning these foreign artists? What do they know about Malaysia ? Only from the photos that you gave them...

As an artist I always beleive that Gallery Petronas is the Craddle of Malaysian Art.But this prove me wrong. Gallery Petronas is just a organization that only know how to spend PUBLIC MONEY.


HASNEE A.RAHMAN

Monday, September 8, 2008

Samad Ismail pejuang kemerdekaan, tokoh pelbagai bakat

TOKOH Wartawan Negara dan pejuang kemerdekaan, Tan Sri Abdul Samad Ismail, yang meninggal dunia semalam kerana jangkitan paru-paru, adalah seorang tokoh yang mempunyai pelbagai bakat.

Abdul Samad memulakan karier dalam bidang kewartawanan sebagai pemberita kadet Utusan Melayu semasa berusia 16 tahun, selepas menamatkan pengajian Senior Cambridge. Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad menjadi wartawan terkenal, tokoh sasterawan dan pejuang Bahasa Malaysia, aktivis politik dan kesatuan sekerja, pejuang hak asasi selain menjadi pembekal senjata kepada pejuang kemerdekaan Indonesia dalam tahun 1940-an.

Beliau yang dididik oleh Abdul Rahim Kajai, menjadi editor Berita Malai pada awal usia 20-an, gabungan Utusan Melayu dan Warta Melayu semasa pendudukan Jepun dalam tahun 1940-an berikutan kematian mengejut Abdul Rahim.

Semasa pendudukan tentera Jepun, beliau dipengaruhi dalam bidang politik melalui wartawan Ibrahim Yaakob dan Kesatuan Melayu Muda dan membabitkan diri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia.

Allahyarham juga membabitkan diri dengan perjuangan bagi mendapatkan kemerdekaan Malaya dan menjadi anggota pengasas Parti Kebangsaan Melayu.

Selepas pendudukan Jepun pada 1946, beliau kembali kepada Utusan Melayu sebagai penolong editor dan tujuh tahun kemudian sebagai timbalan editor. Pada 1951, beliau dipenjarakan oleh pentadbiran kolonial British tanpa perbicaraan atas dakwaan terbabit dalam kegiatan komunis dan dibebaskan pada 1953.

Selepas pembebasannya, beliau menyertai Lee Kuan Yew bagi menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan membuat draf perlembagaan dan manifesto parti itu, tetapi meninggalkanya pada 1957.

Pada tahun yang sama, beliau dihantar ke Indonesia sebagai koresponden Utusan Melayu berikutan perselisihan kecil dengan pengarah urusan dan ketua pengarang Utusan, Yusoff Ishak, menyebabkan beliau terlepas sambutan hari kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos walaupun beliau merupakan pejuang kemerdekaan negara.

Di Indonesia, beliau diterima baik oleh rakan seperjuangan termasuk Adam Malik dan berada di republik itu selama lapan bulan sebelum kembali semula ke Singapura dan menyertai New Straits Times.

Allahyarham kemudian menjadi editor penasihat sebuah akhbar baru berbahasa Melayu, Berita Harian, pada 1958 dan berpindah ke pejabat editorial akhbar itu di Kuala Lumpur.

Pada 1972, Abdul Samad, yang pada masa itu merupakan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, mengetuai usaha menukar pemilikan operasi kumpulan itu ke tangan rakyat Malaysia.

Pak Samad seorang yang gemar membaca juga menjadi jaguh kesusasteraan Melayu dan menjadi penggerak utama dalam menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (Asas '50), pergerakan sastera yang berjuang untuk hak dan kebebasan orang Melayu pada 1950-an.

PenubuhanAllahyarham juga terlibat dalam menubuhkan Persatuan Penulis Nasional (Pena), Persatuan Penulis-Penulis Kebangsaan dan membantu menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah institusi bahasa dan kesusasteraan pada 1956.

Walaupun sibuk dengan kehidupan sebagai wartawan, Pak Samad masih sempat menghasilkan karya tulisan antaranya termasuk 11 novel, empat buah buku mengenai kewartawanan dan penulisan dan dua antologi cerita pendek.

Antara novelnya adalah Patah Sayap, Terbang Jua dan Tembok Tidak Tinggi yang memaparkan pengalaman kehidupannya sebelum dan semasa pendudukan tentera Jepun dan sebelum beliau dipenjara.

Melalui hasil tulisannya, beliau membantu membebaskan minda orang Melayu dan menggerakkan perjuangan mendapatkan kemerdekaan daripada penjajahan.

Bagi karya kesusasteraan, Allahyarham dianugerahkan Hadiah Pejuang Sastera pada 1976 oleh Kerajaan Malaysia dan pada 1988, beliau menjadi penerima pertama anugerah Tokoh Wartawan Negara yang dianjurkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Penerima anugerah Ramon Magsaysay bagi Kewartawanan, Kesusasteraan dan Seni Komunikasi Kreatif pada 1994 itu ditahan pada 1976 hampir lima tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan berkomplot untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia dan Singapura.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1981, Abdul Samad dibebaskan daripada tahanan dan enam bulan kemudian, dalam bulan Ogos, beliau dilantik sebagai penasihat akhbar Star berbahasa Malaysia dan pada November 1982, dilantik sebagai penasihat editorial akhbar New Straits Times.

Allahyarham bersara pada 1988 selepas 48 tahun dalam dunia kewartawanan, tetapi tidak pernah duduk diam dan terus menulis, membaca dan menjadi rujukan bagi isu-isu mengenai kewartawanan dan kemerdekaan Malaysia.

Pada tahun 2000, sebuah buku mengenai beliau bertajuk A. Samad Ismail: Journalism and Politics yang disusun oleh Cheah Boon Kheng, mengandungi artikel mengenai beliau yang ditulis oleh arwah isterinya, Puan Sri Hamidah Hassan yang juga bekas pemberita, dan kawan-kawannya termasuk Allahyarham Tan Sri Melan Abdullah, telah dilancarkan.

Abdul Samad, dilahirkan pada April 18, 1924 di Singapura merupakan anak kelapan daripada 16 anak daripada pasangan keturunan Jawa, Ismail Shairazi dan Aida Abdul Majid.

Bapa beliau, seorang guru besar sebuah sekolah Melayu di Singapura juga merupakan seorang penulis dan telah menyumbang artikel dalam bahasa Melayu untuk akhbar-akhbar tempatan.

Dua daripada 10 anak Allahyarham, Maria dan Nuraina adalah bekas wartawan politik.

- Bernama

Monday, July 28, 2008

Menanti Karya Mural Jiawei Shen

Melihat brosur Galeri Petronas tertera 'sebuah karya yang tempah khas sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 51'. Penulis tercari-cari siapa Jiawei Shen itu? dan dunia internet amat membantu. Beliau adalah seorang pelukis handalan AUSTRALIA. Tidak pasti kemana perginya semangat patriotik kita, jika lukisan untuk ulangtahun kemerdekaan ke-51 Malaysia tidak ada seorangpun pelukis Malaysia yang dapat melukiskannya. Harganya? boleh semak sendiri http://www.portraitartist.com/shen/fees2.htm - barangkali ditempah atas semangat KOMANWEL kut.

Mungkin ada benarnya rungutan sesetengah dari kita, 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri'. Karyawan kita tidak dipandang di negeri sendiri. Latiff Mohidin, Ibrahim Hussein bila nak dapat Dato' nya. Kenapa tidak karya mural untuk kemerdekaan dikomisenkan kepada Jaafar Taib atau Azman Yusof sahaja? Nama yang cukup terkenal dengan karya yang memukau?

Barangkali ini mengulangi sikap sesetengah kita yang nampak "rumput di halaman jiran lebih hijau dari halaman sendiri", tetapi inikah yang harus ada dalam jiwa para pentadbir kita?... dalam semangat hendak menyambut ulangtahun kemerdekaan pun masih bergantung kepada orang luar...

Sunday, July 27, 2008

MRCB Art Competition

Seratus Ribu. Begitu bunyi iklan pertandingan (sumbangan) seni yang mewar-warkan hadiah yang dikira lumayan di Malaysia. Ramai yang teruja. Malah melihatkan promosi yang besar-besaran di kaca tv ramai yang telah memicit warna dan meregang kanvas. Fuad Osman pulak yang bersuara tu... untuk sama-sama menjaga alam sekitar, perlukan sumbangan karya. Balai Seni Lukis Negara turut menaja.

Dalam laman MyArtHost ada gema yang menyeru komuniti seni berlumba-lumba menyertainya. Namun meneliti syarat-syarat yang ditetapkan, kita merasa ada yang tidak kena dengan seruan itu. Bagi yang menyertainya, sama ada menang atau tidak, karya akan menjadi milik penganjur. Tidak pasti itu khliaf penganjur atau sengaja memutar kata. Siapalah agaknya yang amat bijak menentukan syarat itu. Apa yang pasti setiap penyertaan perlu disertakan borang yang melepaskan hak milik karya kepada penganjur.

Jika ini merupakan sumbangan pelukis, mengapa tidak disebutkan derma seni sahaja? Pelukis bukan sahaja perlu memerah otak bagi menjelma idea ke alam nyata malah terpaksa pula merelakan karya mereka menjadi milik orang lain, semata-mata mengharapkan habuan yang entah dapat entahkan tidak...

Hamidon Ahmed
Presiden APDR
merangkap
Ketua Biro Pameran GAP's

Tuesday, July 22, 2008

Mesyuarat jawatankuasa GAPs




19 Julai 2008, jam 11.00 pagi berlangsung satu mesyuarat GAP's di Balai Seni Lukis Negara. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil BSLN, En. Ismail Yaakob dan Osmi Hamidy. Antara perkara yang diputuskan adalah untuk mengadakan satu pameran bertemakan 'Malaysia Prihatin' yang bakal menyaksikan penulis dan pelukis bekerjasama dalam suatu wadah seni... bersedialah semua dengan karya-karya mengancam... Terima kasih BSLN atas tempat mesyuarat, minum pagi, makan tengahari dan layanan mesra...



Kesian Dato' Mahsun yang tercicir 'handphone' dalam LRT... berjalan kaki pulak tu dari stesen LRT ke BSLN... memang penuh semangat Dato' seorang ni...



Selepas mesyuarat, geng pantai Timur (A. Shaimy, Kak Nah dan Kak Dah) dan Dato' Tengku Alaudin beredar - A. Rasyid Abd Razak (YDP Persatuan Pelukis Melayu P.Pinang), Dato' Mahsun, Ninie dan teman (Hamidon Ahmed) ke Galeri Petronas menyaksikan pameran DISCLOSURE karya Ahmad Zakii Anuar... memang hebat sungguh karya pelukis Malaysia ini. Berkesempatan juga mendengar bual bicara AZA dengan Eddin Khoo...



Selepas KLCC, mencari jalan ke Central Market, nak guna LRT panjang sungguh pengguna beratur... nak naik teksi... RM20 beb! naik bas lerr yop! wow RM2.70 sen jer untuk 3 orang... ( Dato' Mahsun dah balik dulu...) sampai kat CM (Annexe sebenarnya) sempatla jenguk-jenguk kengkawan kat situ... sempat lepak kejap kat tempat Abg Ghani Ahmad yang masih segar senja itu...

Friday, July 18, 2008

Sejunjung bak sirih, seikat bak serai, sekali berkasih, tak ingin bercerai






dalam meniti hari penuh warna, ada kalanya kita terasa sunyi dan terasing, tanpa disedari ada yang lain sama senasib dengan kita... penuh warna, sunyi, resah, gelora, ghairah, rindu... itulah kesamaan kita... Gambar-gambar semasa Mesyuarat Agung GAPs di Balai Seni Lukis Negara.